Tempat Menarik di Pulau Pinang untuk Rombongan Belajar

Peluang untuk mengikuti rombongan pelajar-pelajar Diploma in Interactive Design, KBU International College ke Pulau Pinang baru-baru ini amat menyeronokkan. Selain mengembalikan zaman di kampus dulu saya juga dapat menikmati keindahan Pulau Pinang dengan lebih dekat lagi.

Kami  menginap di Wassup Youth Hostel yang terletak di bandar George Town. Hostel ini amat sesuai untuk pelajar dan golongan muda. Konsep interaktif  hotel yang ditawarkan amat menarik sekali. Pengunjung boleh bermain snooker, catur, dam haji dan juga uno. Komputer juga disediakan dengan kemudahan internet sekali.  Hiasan dalamannya berwarna warni dan ceria sekali.

Kami menikmati hidangan makan malam di Restoran Lebanon yang terletak di Batu Feringghi. Restoran ini menyediakan makanan Arab yang sungguh lazat. Yang menariknya restoran ini menerima tempahan awal dan menawarkan pakej istimewa kepada pelajar.

Selesai menjamu selera kami meronda di night market di sepanjang Batu Feringghi. Pelbagai jenis barangan dijual di sini termasuk pakaian, beg, tas tangan, aksesori wanita, barang perhiasan rumah dan kraftangan. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membuat lukisan inai di tangan dengan harga RM10 sahaja. Night market dibuka setiap hari dari petang hingga ke larut malam.

Penang Train Bukit BenderaKeesokan pagi kami memulakan perjalanan ke Bukit Bendera. Tempat yang paling popular dan merupakan ikon kepada pulau ini. Kami menaiki tren untuk sampai ke puncak Bukit Bendera. Di sini juga terdapat Muzium Burung Hantu. Anda juga boleh menaiki buggy untuk menikmati pemandangan di lereng-lereng Bukit Bendera. Terdapat juga kedai makanan yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Penang Street Art BicycleDari Bukit Bendera kami ke pusat bandar George Town untuk melihat Street Art. Pelbagai karikatur dan lukisan dapat dilihat di bangunan di sekitar bandar ini. Kami berjalan kaki sejauh hampir 3km untuk melihat dengan lebih dekat hasil kerja tangan yang sungguh unik. Street Art menjadi tumpuan untuk pengunjung mengambil gambar.

Penang Boy on a Bike

Untuk menghilangkan penat dan rasa melekit di badan, kami singgah di Miami Beach. Sebaik sahaja turun dari bas, ada yang tidak sabar-sabar lagi untuk mandi pantai terus sahaja menuju ke pantai dan mandi manda. Walaupun penat kerana sehari suntuk berjalan tetapi kami masih lagi dapat menikmati keindahan pantai.

Pada waktu malam, kami tidak melepaskan peluang ke salah satu tempat terbaik untuk menikmati makanan iaitu Gurney Drive. Tempat ini ibarat medan selera yang menyediakan gerai gerai penjaja secara terbuka di tepi laut. Pelbagai jenis makanan ada di sini seperti pasembor, laksa penang, nasi lemak, satay dan ikan bakar.

Hari terakhir kami mulakan dengan lawatan ke kuil agama Buddha yang terbesar di Pulau Pinang dan Asia Tenggara iaitu Kuil Kek Lok Si.  Kuil ini terlatak di Air Hitam.  Daya tarikan utama di sini ialah Patung Dewa Kuan Yin yang besar.

Dari Air Hitam kami ke pasar Chowrasta.  Di sini cukup terkenal dengan jeruk buah-buahan tempatan.  Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang.

Dua hari tiga malam sebenarnya belum cukup untuk menikmati dan menerokai Pulau Pinang sepenuhnya.  Banyak lagi tempat yang menarik belum dikunjungi.  Pastinya kami akan kembali lagi.  Masing-masing sudah ada perancangan tersendiri.   Walau apapun  kami amat seronok dan gembira sekali. Pulau Pinang, tunggu kami datang!

Sumber Foto:
http://www.synergy-tours.com

By | 2016-11-04T22:27:44+00:00 December 18th, 2015|Uncategorized|Comments Off on Tempat Menarik di Pulau Pinang untuk Rombongan Belajar