Latar Belakang

Shuhada Hasim, merupakan seorang jurugambar berpengalaman yang sudah  lebih 8 tahun terbabit di dalam bidang fotografi. Pembabitan beliau bermula menerusi pendedahan dalam bisnes perkahwinan di mana ayahnya membekalkan kanopi sementara adiknya pula menyediakan kek perkahwinan. Berkonsepkan ‘anak membantu ayah di dalam bisnes’, Shuhada dan suaminya telah berbincang untuk menambahbaikkan bisnes keluarga ini dengan menjadikan gambar-gambar kanopi di internet sebagai rujukan sehingga akhirnya menjadi sangat terpengaruh dengan gambar-gambar perkahwinan.       

Di sini Shuhada mula berjinak dengan fotografi perkahwinan di mana suaminya sentiasa berkongsi imej perkahwinan serta maklumat mengenai bagaimana ia boleh dijadikan suatu bisnes. Di samping itu, Shuhada telah menjadikan laman-laman sesawang sebagai inspirasi hingga beliau jatuh cinta dengan fotografi perkahwinan.

Pengalaman Bekerja

Setelah mendapat ijazah dalam jurusan perakaunan pada tahun 2001, Shuhada bekerja sebagai seorang juruaudit di sebuah firma audit sebelum melangkah ke sektor sumber manusia di sebuah syarikat minyak dan gas pada tahun 2005.  Ketika itu, Shuhada mula mengambil diploma fotografi secara sambilan untuk menimba ilmu di dalam bidang ini.  Berdasarkan kepada minat yang mendalam dalam fotografi perkahwinan, beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi seorang jurugambar sepenuh masa.

Jurugambar yang Kreatif

Menurut Shuhada, seorang yang kreatif sentiasa cuba mencari penyelesaian bagi setiap isu yang timbul. Walaupun, elemen kreatif adalah subjektif tetapi bagi beliau, ia memberikan peluang untuk beliau mengembalikan sesuatu kepada subjek beliau sebagai seorang manusia. Ini termasuklah mengenalpasti impak positif gambar berkenaan kepada seseorang, keluarga dan masyarakat. Pada beliau, pemikiran yang kreatif memerlukan dorongan termasuk menggunakan seni fotografi sebagai medium untuk berhubung dengan dunia.  Pemikiran kreatif juga bukan sekadar meniru tetapi cuba mendapatkan intipati sesuatu inspirasi.

Bidang Fotografi

Bidang fotografi menyediakan sesuatu dunia lain yang perlu diterokai. Ia merakamkan setiap detik yang boleh diterjemahkan menjadi visual yang menarik. Shuhada amat mengemari gambar potret yang dirakam semasa majlis perkahwinan.  Ini telah mendorong beliau untuk mendalami lagi bidang fotografi potret.  Beliau turut mula berbincang dengan kawan-kawan dari pelbagai latar belakang seperti artis, penari dan golongan professional seperti doktor untuk mengadakan pameran fotografi sebagai pertunjukan sebelum beliau memperolehi diploma.

Susulan daripada itu, Shuhada mengambil keputusan untuk mengenalpasti dan mendekati orang perseorangan untuk dijadikan subjek bagi membangunkan portfolio beliau. Salah seorang yang pernah menjadi subjek beliau adalah Ravi Shanker, seorang penari profesional dan koreografer tarian. Selepas belajar, Shuhada mengadakan kelas fotografi menerusi Groupon yang telah memberikan satu pengalaman baru kepada beliau di mana beliau berjumpa dengan orang dari pelbagai bangsa, agama dan latar belakang yang menarik.

Gambar Potret Wanita

Setiap wanita mempunyai keunikan mereka yang tersendiri. Tanpa mengira umur, bentuk dan saiz badan mahupun warna kulit, Shuhada ingin memaparkan bahawa wanita itu adalah amat cantik.  Gambar yang dirakamkan itu juga boleh mempamerkan keyakinan yang datang dari dalam diri yang menunjukkan bahawa segala permasalahan boleh ditangani dengan penuh keyakinan.

Beliau turut tertarik untuk mengambil gambar potret seorang wanita dari Amerika yang telah jatuh cinta dengan budaya tempat asal suaminya iaitu Afrika yang mempunyai rekabentuk pakaian yang berwarna warni.  Setelah Shuhada menunjukkan gambar potret wanita berkenaan, beliau telah menangis dan berasa amat menyayat hati kerana wanita berkulit hitam itu tidak pernah melihat gambarnya atau dirinya sebegitu cantik.  Wanita tersebut sentiasa merasa dirinya tidak cantik dan mempunyai kurang keyakinan diri.  Pada saat ini, Shuhada baru sedar betapa pentingnya sesebuah gambar potret yang boleh mengubah persepsi seseorang tentang diri mereka sendiri. Ini merupakan sesuatu detik yang cukup bermakna untuk Shuhada kerana gambar-gambar potret boleh menggembirakan seseorang.  Sejak dari itu, Shuhada menumpukan perhatian dalam mengambil gambar-gambar potret.

Ibu Sebagai Sumber Inspirasi

Shuhada juga berkerjasama dengan non-governmental organization (NGO) khusus dalam kanser payu dara kerana beliau ingin memaparkan perjuangan seseorang wanita yang mengidap kanser payu dara. Ibu Shuhada telah meninggal dunia akibat kanser payu dara semasa Shuhada sedang menyiapkan pameran solonya.  Shuhada selalu mengambil gambar ibunya semasa ibunya sihat dan selalu melakukan aktiviti kegemaran beliau seperti berkebun di taman. Ibu Shuhada berada di hospital semasa beliau melakukan persiapan untuk pameran solonya yang pertama.  Pada masa itu, cabaran yang dihadapi membabitkan aspek mental, fisikal dan juga emosi.

Isu kanser payu dara ini adalah sensitif untuk dibincangkan terutamanya bila anda mempunyai seseorang yang rapat yang sedang melalui kesakitan ini. Oleh itu, Shuhada telah bertekad untuk menukar pengalaman bersama ibunya kepada sesuatu yang positif dengan berjuang bersama wanita kanser payu dara yang lain. Shuhada turut mempamerkan kisah hidup wanita-wanita yang menghidap kanser payu dara pada pameran solonya yang pertama. Walaupun tidak mengenali sesama sendiri serta di dalam keadaan kepala tidak berambut disebabkan oleh rawatan kimoterapi, wanita-wanita berkenaan masih mampu beraksi dengan selesa dan penuh keyakinan di hadapan kamera.

Sejak itu, persepsi Shuhada terhadap kerjayanya telah berubah di mana beliau kini mencari kisah di luar yang boleh dipaparkan sebagai inspirasi. Kini, Shuhada lebih tenang dalam menghasilkan sesuatu kerja.  Beliau juga bersyukur kerana walaupun sibuk dengan kerjanya, beliau masih berkesempatan untuk bersama ibunya sebelum ibunya meninggal dunia.

Selepas pameran solo Shuhada yang dianjurkan bersama Alliance Francaise Kuala Lumpur, beliau telah membuat persiapan untuk Hari Wanita Antarabangsa. Tema pamerannya adalah “Beautiful Truths” sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 2012.

Dorongan dan Cabaran

Cabaran yang terpaksa beliau tempuhi adalah semasa belajar secara sambilan, bekerja tetap dari hari Isnin ke Ahad dan menguruskan bisnes fotografi.  Alhamdulillah, kini beliau menumpukan masa dan tenaga kepada keluarga termasuk suami beliau yang sentiasa memberikan sokongan penuh.  Semangat yang kental dan minat yang kuat terhadap fotografi mendorong beliau untuk melakukan apa yang telah ditakdirkan. Nasihat beliau kepada golongan wanita yang ingin melakukan sesuatu adalah mereka perlu ada keyakinan diri dan teruskan usaha. Perlu juga memahami apa yang ingin dilakukan serta tindakan susulan yang perlu diambil.  Keperluan untuk mempercayai diri sendiri adalah penting sebelum orang lain boleh mempercayai anda. Wujudkan tenaga positif untuk menonjolkan apa yang diinginkan. Bagi Shuhada, beliau mempunyai jurulatih yang sentiasa memberikan sokongan dan nasihat seperti Shamshahrin Shamsudin. Nasihat Shuhada adalah fokus kepada sesuatu yang ingin dilakukan dan sentiasa meminta komen, nasihat dan maklumbalas untuk memperbaiki lagi diri.

Projek-Projek yang Terlibat

TAPWomenShuhada turut melibatkan diri dalam menguruskan program pendidikan dalam fotografi untuk golongan wanita.  Menerusi program TAPWomen atau The Art of Photography for Women Entrepreneurs, Shuhada ingin mengajar golongan wanita yang menjadi usahawan, bekerja sambilan atau suri rumah cara menggunakan fotografi dengan betul untuk mempromosikan produk-produk mereka dalam talian.

Sejak 2014, Shuhada telah menganjurkan seminar dan bengkel mengenai pemasaran melalui media sosial.  Idea ini tercetus apabila beliau melihat sendiri bagaimana adik beliau menghasilkan kek-kek yang cantik dan menarik dan tidak berapa tahu cara untuk memaparkan kek-kek tersebut untuk dijual menerusi media sosial.  Kini, media sosial amat penting untuk sesuatu bisnes, tetapi kebanyakkan bisnes tidak mempunyai ilmu untuk mengambil gambar-gambar yang dapat menarik pelanggan. Ini adalah usaha Shuhada untuk berkongsi ilmu dan idea bagi membantu usahawan-usahawan wanita. Di samping itu, Shuhada juga adalah seorang pensyarah  fotografi di salah sebuah kolej tempatan.

MOCAFest-2015-klccBersempena dengan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang ke 11 pada 3 – 5 November ini, Shuhada akan mempamerkan hasil kerjanya untuk pasaran antarabangsa. MOCAfest adalah satu landasan yang sesuai untuk mendapatkan peluang perniagaan.

Shuhada Hasim – Artis Potret, Jurulatih Fotografi dan Pensyarah

By | 2016-11-04T22:27:44+00:00 November 1st, 2015|Uncategorized|Comments Off on Shuhada Hasim – Artis Potret, Jurulatih Fotografi dan Pensyarah