Jangan mudah berputus asa dan cepat mengalah adalah merupakan pegangan Encik Juhari bin A. Rani dalam menjalani kehidupan beliau sebagai seorang usahawan memandangkan  setiap perniagaan yang hendak diceburi mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Dengan wujudnya manusia dengan pelbagai ragam samada positif maupun negatif di luar sana, sokongan moral adalah faktor yang penting untuk memperkukuhkan keyakinan seseorang dalam menghadapi ranjau dalam perniagaan.

Tahap keyakinan ini adalah amat kritikal di peringkat awal pembabitan Encik Juhari di dalam perniagaan iaitu selepas beliau mengambil keputusan untuk berdikari.  Pengalaman suka duka di peringkat ini banyak mengajar beliau erti bersyukur dengan nikmat yang ada, tabah dengan dugaaan serta beristiqamah dalam melakukan pekerjaan.

Dato’ Jimmy Choo, pereka kasut professional tempatan yang dikenali di peringkat antarabangsa, adalah merupakan inspirasi Encik Juhari.  Kesamaan dari segi pengalaman suka duka di antara beliau dengan idol beliau iaitu Dato’ Jimmy Choo menjadi pendorong beliau berusaha untuk berjaya.  Segala pengalaman yang beliau perolehi daripada mula berkecimpung di dalam bidang ini pada usia 18 tahun digunakan sepenuhnya di dalam perniagaan beliau.

Susulan daripada mengambil keputusan untuk berdikari, Encik Juhari bermula dengan menjalankan perniagaan di pasar-pasar malam dan uptown di sekitar negeri Johor selain daripada mendapat bantuan rakan-rakan dalam membantu penjualan produk beliau.  Selain daripada pemasaran, beliau turut terpaksa berusaha sendiri dalam mendapatkan bahan untuk membuat kasut-kasut tersebut.  Di sinilah faktor mendisiplinkan diri menjadi amat kritikal.

Selain daripada isu modal, usaha untuk meraih kepercayaan pelanggan adalah merupakan masalah utama di peringkat awal sesuatu perniagaan.  Bagi Encik Juhari, kepercayaan pelanggan adalah penting kerana ini akan mewujudkan perhubungan perniagaan jangka panjang di antara beliau dengan pelanggan.  Justeru itu, jangan sekali-kali menipu dalam berniaga.

Berbekalkan modal duit simpanan dan pinjaman daripada beberapa rakan terdekat, beliau mula membuat produk kasut di rumah beliau sendiri. Daripada situ, Encik Juhari mula menggorak langkah dengan menyewa lot kedai dan membeli peralatan yang diperlukan, seperti mesin jahit secara berperingkat.

Rekaan Kasut Impresif, TAGeoronnie Shoe Maker

Selepas setahun berdikari, Encik Juhari telah mengajak rakan perniagaan beliau, Encik Aizat, untuk menubuhkan syarikat Georonnie Shoe Maker. Dua tahun selepas syarikat ini beroperasi, mereka telah mencadang untuk memperkembangkan lagi perniagaan syarikat tersebut. Hasil daripada perbincangan dengan seorang pelanggan tetap beliau, Encik Mohd Azmi bin Mohd Amin, yang juga seorang usahawan yang berjaya di Kuala Lumpur serta Encik Taqi Muhamad bin Osman yang telah sudi menjadi pelabur, syarikat TAGeoronnie Shoe Maker Sdn Bhd telah ditubuhkan.  TAGeoronnie Shoe Maker merupakan sebuah syarikat membuat kasut yang dimiliki oleh bumiputera.  Kilang ini yang dulunya dikenali sebagai Georonnie Shoes Maker Enterprise telah dinaik taraf menjadi TAGeoronnie Shoe Maker Sdn Bhd.

Aktiviti membuat kasut mereka juga berpindah ke kilang yang lebih besar dan dilengkapi dengan peralatan yang lebih sempurna. Kini, mereka mula aktif untuk mempromosikan kasut berjenama TAG’s, kasut buatan Malaysia yang merangkumi kasut berfesyen dan juga kasut-kasut tender.

Rekaan Kasut Impresif, TAGeoronnie Shoe Maker

Bagi tujuan promosi, Encik Juhari berpandangan bahawa keperluan membuka kedai bukan satu kemestian bagi yang baru memulakan perniagaan.  Di dalam zaman tanpa sempadan sekarang, penggunaan teknologi dalam talian perlu dioptimakan.  Seseorang perlu rajin untuk mengejar teknologi dan bukan sebaliknya.  Kedai maya boleh diwujudkan dalam talian sebagai satu pilihan bagi yang baru mula berjinak dengan perniagaan.

“Walau apa pun yang kita lakukan di dalam kita berniaga, perkara pokok yang perlu dijaga adalah hubungan kita dengan Allah SWT. In sha Allah, sekiranya ini dapat dijaga dengan baik, kita akan beroleh kejayaan di dalam apa saja yang kita usahakan”, Encik Juhari mengakhiri perbualan beliau.

By | 2016-11-04T22:27:44+00:00 November 7th, 2015|Uncategorized|Comments Off on Rekaan Kasut Impresif, TAGeoronnie Shoe Maker