Keindahan Taman Negara Pulau PinangTidak ramai yang mengetahui bahawa Pulau Pinang juga mempunyai hutan simpanan yang kini telah diisytiharkan sebagai Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) pada 4 April 2003. Hutan simpanan ini yang dahulunya dikenali sebagai Hutan Simpanan Pantai Acheh, mempunyai keluasan 1,266 hektar atau lebih kurang 3,128 ekar dan terletak di bahagian barat laut Pulau Pinang.

Kesempatan untuk kami menikmati keindahan TNPP diperolehi awal tahun lalu di mana kami sekeluarga telah mengambil keputusan untuk melakukan jungle trekking meliputi kawasan timur TNPP yang merangkumi Pasir Pandak, Sungai Tukun, Teluk Aling di mana terletaknya Pusat Kaji Selidik Marin Universiti Sains Malaysia (USM) dan berakhir di Teluk Duyung atau lebih dikenali sebagai Monkey Beach. Secara keseluruhan, perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 3 jam di mana kami turut berehat sebentar di Teluk Aling yang tidak sesak kerana tidak ada ramai pengunjung di situ.

Keindahan Taman Negara Pulau PinangPengunjung berpeluang untuk menimba pengalaman menggunakan trek yang telah disediakan mahupun trek semulajadi yang mana pengunjung perlu menggunakan kelengkapan yang telah disediakan seperti tali untuk menyeberangi laluan berbatu di kawasan-kawasan yang tertentu serta menggunakan akar-akar kayu sebagai tapak untuk mendaki.

Bagi anak-anak saya yang berumur 5 dan 11 tahun serta sepupu mereka yang berumur 9 tahun, ini adalah merupakan satu aktiviti outdoor yang luar dari kebiasaan dan mencabar.  Walaupun keletihan jelas kelihatan di wajah mereka apabila kami tiba di Monkey Beach, namun mereka tetap teruja kerana terdapat aktiviti yang boleh dilakukan di situ selain daripada menjamu selera termasuk menikmati hidangan air kelapa muda.  Terdapat juga pengunjung yang bermandi manda, berkhemah dan bersantai di tepi pantai.

Keindahan Taman Negara Pulau Pinang

Bot merupakan kenderaan air pilihan untuk membawa kami pulang ke Teluk Bahang.  Meredah laluan yang sama untuk kembali ke tempat di mana kami bermula sudah semestinya akan membebankan terutama sekali anak-anak yang sudah keletihan.  Lagipun, kesempatan menggunakan bot memberikan pilihan untuk kami melihat laluan yang telah kami ambil daripada perspektif yang berbeza.

Keindahan Taman Negara Pulau Pinang

Namun, kami telah bertekad untuk kembali melawati Taman Negara Pulau Pinang di mana di dalam lawatan yang akan datang kami bercadang untuk mencuba laluan ke bahagian barat Taman Negara ini untuk menikmati pengalaman yang berbeza.

Foto oleh Rashid Mat

By | 2016-11-04T22:27:44+00:00 November 11th, 2015|Uncategorized|Comments Off on Keindahan Taman Negara Pulau Pinang