Perbualan kami bermula dengan satu tema yang secara kebetulan sama iaitu rama-rama. Noranis Ayu Nordin, atau lebih mesra dengan panggilan Anis, merupakan pemilik Kedai Bakeri Anies Bake House yang terletak di Cyberjaya. Secara kebetulan dia juga meminati rama-rama dan meletakkan rama-rama dilogo beliau. Bagi beliau, rama-rama melambangkan keindahan, kebebasan dan juga kebahagiaan.

Kedai Bakeri Anies Bake HouseMemulakan kerjaya sebagai Setiausaha pada tahun 1991, Anis telah bertemu jodoh dengan rakan sekerja dan mendirikan rumah tangga pada sekitar tahun 1993. Pada masa itu Anis bekerja di salah sebuah syarikat oil & gas di Segamat, Johor. Oleh kerana minat yang mendalam di dalam pembuatan kek, beliau mula berjinak-jinak membabitkan diri menjual biskut-biskut hari raya dari Johor ke Kuala Lumpur.

Pada tahun 1995, beliau telah mengikut suaminya berhijrah ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Semasa itu beliau telahpun mempunyai seorang cahaya mata dan oleh kerana kepayahan mencari pengasuh pada waktu itu, beliau terpaksa meninggalkan anak bersama ibu bapa di Segamat. Anis agak bernasib baik kerana telah mendapat tawaran bekerja sebagai setiausaha di salah sebuah syarikat di Kg Pandan dengan gaji yg sangat rendah jika dibandingkan dengan gaji sebenar seorang setiausaha pada ketika itu. Tetapi Anis tidak menjadikan gaji itu sebagai penghalang untuk dia teruskan juga kerjaya tersebut.

Kedai Bakeri Anies Bake HousePada pendapat Anis, yang penting adalah rajin, tidak membebankan suami dan sikap ingin belajar untuk menambah baik pengetahuan dan kemahiran yang ada supaya dapat membuktikan kepada majikan bahawa beliau boleh membantu memperkembangkan prestasi syarikat.

Penghidupan di Kuala Lumpur sangat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di Segamat. Kos sara hidup sangat tinggi dan Anis telah mengambil keputusan untuk menjual kuih-muih melayu yang dipelajari daripada ibunya seperti karipap, kuih koci, pau kukus dan donut ke warong-warong di kaki lima Pandan Luar, aktiviti-aktiviti tersebut dilakukan sebelum ke tempat kerja. “Bukan senang nak senang” itulah yg Anis perkatakan semasa kami menemuramah beliau pada hari itu.

Pada tahun 2000, Anis telah berpindah ke tempat kerja yg baru dan bertugas sebagai Setiausaha merangkap sebagai Eksekutif pemasaran di sebuah syarikat pengeluar gasket untuk syarikat oil & gas. Disebabkan pengalaman dan juga kemahiran yang bertambah, Anis telah ditawarkan bekerja di salah sebuah syarikat GLC sebagai Setiausaha dan pendapatan memang jauh lebih baik dari yang dulu. Walau bagaimanapun Anis tetap meneruskan minat membuat kek dan biskut sebagai menambah pendapatan keluarga yang mana pada waktu itu beliau telah mempunyai 4 orang cahaya mata. Namun, langit tidak selalu cerah. Pada tahun 2009, Anis menghadapi masalah rumah tangga yang sangat hebat dan terpaksa melalui proses-proses kaunseling dan mahkamah. Banyak sangat yang perlu dilalui sehingga memberi tekanan perasaan yang sangat hebat pada beliau. Beliau terpaksa menyara 4 orang anak-anak dan pada masa itu anak-anak adalah segalanya. Biar susah sekalipun, anak-anak tetap bersama. Tidak dinafikan, kewangan pada masa itu sangat tenat. Untuk menambah pendapatan, beliau telah menjadi orang tengah bagi urusan mendapatkan pembantu rumah Indonesia tetapi malangnya beliau telah ditipu oleh tekong yg berbangsa Indonesia. Beliau terpaksa mengganti semula duit-duit majikan tersebut.

Kedai Bakeri Anies Bake HouseAkhirnya beliau bertemu dengan seorang hamba Allah ini yang amat bersimpati dengan nasib beliau. Beliau telah dinasihatkan agar tidak meneruskan urusan pengambilan pembantu rumah itu. Kemudian beliau telah diberi modal sebanyak RM500 untuk memulakan semula perniagaan menjual kek-kek dan biskut sebagai menambah pendapatan. Hamba Allah itu percaya bahawa dengan kemahiran yg ada, Anis boleh menyara hidup keluarga dengan lebih baik.

Kedai Bakeri Anies Bake HouseSetiap hari selepas habis waktu bekerja, Anis akan menyambung aktiviti membuat kek di rumah sehingga jam 1:00 pagi dan kadang-kadang sampai ke 4:00 pagi baru lah selesai kesemuanya. Memang sangat-sangat mencabar bagi beliau kerana keesokkan harinya beliau terpaksa bangun pada pukul 6:00 pagi untuk menyiapkan jualan ke kiosk dan menghantar anak-anaknya ke sekolah. Begitulah rutin harian Anis. Hari berganti hari, Anis tetap lalui segalanya dengan penuh kesabaran walaupun berada di dalam kesedihan, kesusahan dan kepayahan membesarkan anak-anaknya.

Akhirnya, dengan usaha dan semangat yang kental di dalam menghasilkan kek kek yang cantik dan sedap, Anis telah diundang oleh TV3 untuk mendemonstrasikan hiasan kek cawan sempena hari ibu di dalam rancangan Wanita Hari Ini. Dari situlah Anis mula mendapat perhatian dari pihak media electronik, majalah-majalah tempatan seperti Majalah RASA, Mingguan Wanita, Majalah Sihat dan juga akhbar-akhbar tempatan.

Oleh kerana terlalu banyak permintaan dari hari ke hari, Anis terasa tidak mampu lagi untuk meneruskan pekerjaan sebagai eksekutif kanan di syarikat GLC itu Ini adalah disebabkan tekanan kerja yang tinggi sehingga mengganggu kesihatan beliau pada waktu itu. Pada tahun 2013, Anis telah mengambil keputusan mengerjakan Umrah bersama ibu bapa dan juga adik-beradiknya bagi mencari ketenangan serta petunjuk dari Allah swt supaya memberi jalan yang terbaik untuk Anis membuat keputusan. Sekembalinya daripada umrah, beliau telah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital Ampang Putri dan doktor menasihatkan agar beliau berehat selama sebulan.

Kedai Bakeri Anies Bake HouseSelepas beliau pulih, Anis tidak lagi mampu berhadapan dengan tekanan di tempat kerja dan beliau telah mengambil keputusan berhenti pada bulan Ogos 2013 untuk menumpukan sepenuh perhatian dan masa beliau kepada anak-anak beliau yang akan menduduki peperiksaan SPM, PMR dan UPSR pada tahun itu. Beliau telah membuka premis beliau dan pada masa itu beliau tidak mempunyai banyak simpanan tetapi beliau percaya rezeki Allah tu ada.

Pada bulan November 2014, perniagaan Anis merosot kerana kos tanggunggan semakin bertambah. Bangunan yang menempatkan premis beliau masih lagi baru dan tidak ramai lagi pengunjung yang datang. Beliau percaya dengan berkat kesabaran, focus dan usaha, insha Allah beliau boleh memperbaiki perniagaan dengan lebih baik kerana perniagaan ini adalah impian beliau sejak dari kecil lagi. Dengan adanya sokongan ibu dan bapanya, teman-teman rapat dan adik beradik, beliau menjadi lebih fokus dalam mensasarkan pelanggan dari golongan individu, korporat dan cafe. Keistimewaan produk beliau adalah Red velvet yang mana ia merupakan best seller sejak dari tahun 2010.

Kedai Bakeri Anies Bake HouseDengan sokongan rakan-rakan followers di facebook, kini perniagaan bakeri Anis semakin dikenali ramai. Selain daripada menjual hasil bakeri, Anis juga turut mengadakan bengkel mengajar pembuatan kek, roti dan biskut, Minat beliau di dalam bidang lukisan sejak di bangku sekolah lagi serba sedikit membantu Anis dalam menghasilkan hiasan kek yang kreatif dan menarik.

Kedai Bakeri Anies Bake HousePeggy Porshen adalah sumber inspirasi dan idola Anis dalam perniagaannya termasuk konsep bakeri beliau. Anis pernah memenangi resipi pilihan terbaik yang dianjurkan oleh Kelab Cinta Ketuhar di mana beliau telah mendapat jumlah undi yang tertinggi bagi resipi Semolina Almond Butter Cake. Beliau juga pernah memenangi Grand Prize mencipta roti Gardenia pada sekitar tahun 1998. Dan kini, beliau berjaya menghasilkan produk terbaru iaitu European Traditional Roll yg kini menjadi kegemaran ramai. Produk ini dikenali sebagai Beiglianies. Dia berjaya memasarkan produk tersebut ke seluruh Malaysia dengan berbagai perisa iaitu coklat, walnut dan blueberry.

Perbualan kami berakhir dengan nasihat untuk para golongan ibu-ibu tunggal di luar sana supaya jangan mudah putus asa sekiranya berlaku keruntuhan rumah tangga. Perlu ada semangat yang kental untuk melawan perasaan supaya tidak mudah lemah. Fokus di dalam melakukan sesuatu contohnya pekerjaan dan perniagaan. Keberanian perlu ada bagi mewujukan keyakinan yang tinggi. Pergaulan adalah penting untuk memperluaskan rangkaian niaga dan tidak perlu malu untuk mencari mentor sebagai pembimbing. Sekiranya perniagaan itu melibatkan online, kita perlu sentiasa aktif mengemaskini aktiviti perniagaan di laman facebook, instagram dan sebagainya supaya mereka diluar sana lebih yakin dengan prestasi dan juga produk yang dikeluarkan.

https://www.facebook.com/AniesBH
https://www.instagram.com/aniesbakehouse

By | 2016-11-04T22:27:44+00:00 December 1st, 2015|Uncategorized|Comments Off on Kedai Bakeri Anies Bake House