Grab Melancarkan Grabchat, Platform Pesanan Ringkas Dalam Aplikasi Yang Pertama Di Asia Tenggara

Petaling Jaya, 19 Oktober 2016 – Sebagai langkah dan komitmen berterusan untuk memberi akses pengangkutan yang lebih mudah dan selamat, Grab yang sebelum ini dikenali sebagai MyTeksi, telah melancarkan GrabChat, sebuah platform pesanan ringkas yang disediakan di dalam aplikasinya. Malaysia adalah negara pertama yang akan menikmati perkhidmatan ini dengan Grab merupakan aplikasi permintaan pengangkutan pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan ciri pesanan ringkas tersebut.

GrabChat mempercepatkan dan memudahkan pemandu dan penumpang berkomunikasi tanpa perlu keluar daripada aplikasi Grab atau menambahkan penggunaan data mudah alih. Ciri-ciri terbaru ini dijangka mampu menyelesaikan halangan komunikasi yang kerap dihadapi, malah membantu pemandu dan penumpang untuk saling berkongsi lokasi dan memberitahu waktu ketibaan pemandu. Kami menyaksikan peningkatan pengguna Grab dari luar negara dan GrabChat boleh membantu pemandu tanpa keupayaan membuat panggilan antarabangsa berkomunikasi dengan nombor dari negara lain,” jelas Tan Hooi Ling, Pengasas Bersama, Grab.

Berdasarkan ujian beta (masih berlangsung) yang dijalankan di kalangan pemandu dan penumpang terpilih di Malaysia dan Singapura, GrabChat membantu mengurangkan 85,000 SMS daripada pemandu dan 45,000 SMS daripada penumpang. Selain itu, pemandu dan penumpang yang menggunakan GrabChat beta menunjukkan kadar pembatalan yang berkurangan kerana ia membantu proses pengambilan. GrabChat membantu pemandu memberitahu jangkaan ketibaan mereka tanpa keluar daripada aplikasi, sementara penumpang boleh menerima maklumbalas yang lebih responsif dan berkongsi lokasi dengan tepat.

GrabChat direka dengan mementingkan keselamatan pemandu. Malah, Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Sri Liow Tiong Lai turut menekankan penggunaan telefon bimbit semasa memandu merupakan salah satu punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia [1].

Untuk memberi ruang komunikasi yang lebih selamat antara pemandu dan penumpang, GrabChat dilengkapi dengan empat pesanan templat untuk pemandu dan lima untuk penumpang. Ini memberikan kaedah yang lebih selamat dan mudah untuk kedua-dua pihak berkomunikasi hanya dengan menekan butang. Menurut ujian beta, dua pertiga daripada pemandu bergantung kepada maklum balas templat untuk berkomunikasi dengan penumpang dan tiga pesanan yang kerap digunakan adalah “Saya telah tiba”, “OK” dan “Saya akan tiba dalam masa 2 minit”.

Selain itu, Perbadanan Tourism Malaysia menjangkakan Malaysia akan menerima lebih daripada 30.5 juta pelancong menjelang hujung tahun ini [2]. Oleh itu, GrabChat mampu meningkatkan pengalaman percutian mereka dan memudahkan pelancong memberitahu lokasi mereka kepada pemandu dan juga memudahkan pemandu berhubung dengan mereka tanpa dikenakan kadar perayauan antarabangsa.

“Ciri-ciri terbaru ini adalah hasil daripada kami mendengar dan memahami keperluan dan keinginan pelanggan kami. Ia merupakan platform pesanan yang ringkas, pantas, mudah dan paling penting selamat. Ia memudahkan komunikasi antara penumpang dan pemandu tanpa perlu risau akan berlakunya sebarang gangguan komunikasi, caj panggilan antarabangsa dan gangguan ketika memandu. Grab telah dicipta di Malaysia bagi memberi pilihan pengangkutan yang selamat buat warga Malaysia, sambil bertujuan meningkatkan taraf hidup pemandu. Oleh itu, kami begitu berbangga untuk menjadi peneraju GrabChat di rantau ini,” jelas Jaygan Fu, Ketua Bahagian Grab Malaysia.

Fu turut menjelaskan lebih lanjut bahawa Grab sedang memperkembangkan fungsi GrabChat. “Kami sudah mempunyai rancangan untuk memperkenalkan ciri-ciri baru dan fungsi bercirikan warga tempatan agar lebih mudah untuk pelancong berkomunikasi dengan pemandu tempatan,” jelas Fu.

Grab akan terus memperbaharui dan menambah ciri-ciri baharu kepada GrabChat berdasarkan maklum balas dan penggunaan. GrabChat akan turut diperluaskan kepada perkhidmatan lain seperti GrabHitch untuk pengalaman yang sejajar di seluruh aplikasi Grab.

GrabChat, yang pada masa ini hanya untuk perkhidmatan GrabCar dan GrabTaxi akan disediakan secara berperingkat untuk versi Android dan iOS pada minggu-minggu akan datang.Untuk mencuba GrabChat, sila muat turun aplikasi Grab dari Google PlayStore atau App Store.

[1] The Sun Daily, ’Illegal to hold handphones while driving’, published on June 27, 2016.
[2] New Straits Times, ‘Malaysia gearing up for more tourists’, published on May 21, 2016.

By | 2016-11-09T19:25:56+00:00 October 19th, 2016|Siaran Media|Comments Off on Grab Melancarkan Grabchat, Platform Pesanan Ringkas Dalam Aplikasi Yang Pertama Di Asia Tenggara