Suhara UsahawanitaDari Pramugari ke Usahawanita

Puan Suhara Omar Leitenbauer

RamaRama: Boleh jelaskan tentang latarbelakang perniagaan Puan?

Suhara: Perniagaan saya menjurus kepada gaya hidup, menghargai keindahan semulajadi serta betapa agungnya maha pencipta. Barangan kemas kami berkonsepkan alam semulajadi di mana koleksi kami diinspirasikan oleh karang, mutiara, tumbuhan pakis, ikan pari, rerama dan sebagainya.

Di samping merekabentuk dan menjual barangan kemas, kami turut berkongsi maklumat serta memberi kesedaran mengenai kepentingan hidupan ini perlu dijaga. Ini termasuk maklumat mengenai jangka hayat seekor rerama yang mana tidak ramai yang tahu mengenainya.

Kami banyak menggunakan batu permata dengan warna semulajadi dan bahan-bahan spara atau emas dan perak penuh di mana setiap rekaan kami akan melalui proses dari lakaran sehinggalah produk berkenaan siap. Selain daripada itu, kami juga menghasilkan barang kemas yang ditempah khas.

Butik utama kami terletak di Bangsar Shopping Centre dan alhamdulillah sejak 3 tahun yang lepas, kami telah berjaya berkembang ke negara-negara Timur Tengah termasuk di Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, Saudi Arabia, Bahrain, Oman dan Qatar.

Suhara Usahawanita R: Boleh ceritakan sedikit tentang latarbelakang Puan?

S: Saya merupakan seorang pramugari dengan Singapore Airlines serta model separuh masa pada tahun 1999. Selepas saya kembali ke Kuala Lumpur, saya telah menjadi model sepenuh masa sehinggalah saya mengambil keputusan untuk berhenti pada tahun 2008 disebabkan keadaan saya yang sudah mengandung.

Kedua-dua kerjaya ini saya panggil sebagai “life university” oleh kerana banyak yang saya pelajari mengenai kehidupan yang tidak boleh dipelajari di dalam bilik darjah.  Walau pun saya pernah menganggap kedua-duanya sebagai kerjaya terbaik namun kemudian saya sedari bahawa ia hanya memberikan kepuasan sementara.

R: Boleh huraikan serba sedikit mengenai sumber inspirasi Puan?

S: Oleh kerana saya masih aktif dalam kerjaya model, permulaan perniagaan saya pada tahun 2006 dibuat secara kecilan dengn menjual dari rumah ke rumah, di pasar minggu, gerai promosi sehinggalah butik perdana kami dibuka pada tahun 2009. Alhamdulillah, kami kini mampu mewujudkan kumpulan produksi kami sendiri.

Suhara UsahawanitaR: Apakah cabaran yang Puan hadapi sebagai seorang ahli perniagaan?

S: Sebagai seorang ibu dan pada yang sama mempunyai perniagaan, ia umpama bekerja sepenuh masa sepanjang tahun.

Memang tidak dapat dinafikan wujud kesukaran di peringkat awal namun kini insha Allah, urusan menjadi lebih mudah terutama sekali dengan kehadiran kakitangan dan pembantu yang efisyen.

Suhara UsahawanitaSaya amat menghargai pembantu-pembantu saya sebab mereka adalah tulang belakang perniagaan saya. Saya agak cerewet di peringkat awal, namun kini dengan kepercayaan yang telah dibina, saya mampu mendelikasikan tanggungjawab kepada mereka.  Saya amat berpegang kepada prinsip melayan orang sebagaimana kita mahu dilayani.

R: Sila nyatakan keutamaan yang paling penting dalam kehidupan anda


S
: Kerjaya sebagai pramugari dan pragawati semasa muda memang menyeronokkan oleh kerana saya dapat mengelilingi dunia. Kini keutamaan saya telah bertukar. Keutamaan akan berubah apabila umur kita meningkat. Menjadi seorang ibu adalah sesuatu yang terbaik. Namun untuk saya, anak-anak saya dan keluarga adalah keutamaan saya di samping menuntut ilmu dan beribadah untuk mendekatkan diri kita lagi kepada Allah SWT.

Sementara menjadi seorang usahawan adalah merupakan suatu pilihan. Sekiranya sesuatu yang anda lakukan adalah pilihan anda sendiri dan dilakukan dengan penuh minat, segala urusan akan menjadi lebih mudah. Walaupun sibuk, saya masih mampu merancang jadual saya dengan bebas. Segala tekanan terutama sekali berkaitan dengan penjagaan anak saya boleh diatasi dengan mudah. Syukur kepada Allah SWT, saya malah mampu membawa anak-anak saya ke mana saja saya pergi termasuk semasa urusan perniagaan di luar negara.  Alhamdulillah, sebagai seorang usahawan saya mempunyai masa untuk melakukan semua itu.

R: Apakah yang Puan pelajari di sepanjang perjalanan ini?

S: Saya mempelajari banyak perkara mengenai pengurusan kakitangan dan pembantu, perniagaan dan berurusan sesama manusia daripada insan ciptaan Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Pendekatan dan nilai yang saya amalkan ini dihargai oleh semua kakitangan saya termasuk yang bukan Islam. Prinsip saya dalam berniaga adalah ia merupakan satu ibadah sekiranya kita mengikut sunnah dan mematuhi kehendak Allah SWT, inshaAllah.

R: Apakah cabaran peribadi anda?

S: Walaupun kehidupan saya sebelum ini terlalu menjurus ke arah keduniaan, saya bersyukur kepada Allah SWT yang maha pengasih yang masih memberikan petunjuk kepada saya untuk kembali ke jalan yang diredhaiNYA. Saya kini sedar segala cabaran yang telah saya lalui sebelum ini seperti kehilangan ibu bapa pada peringkat umur yang muda, menjadi muflis dan sebagainya adalah ujian daripada Allah SWT. Tidak pernah saya merasai kepuasan dalam hidup sebagaimana yang saya dapat rasai sekarang. Kehidupan yang disertai oleh cabaran sebenarnya adalah indah jika kita memahami perancanganNYA.

R: Apakah nasihat Puan kepada golongan wanita?

S: Tuntutlah ilmu untuk membolehkan anda membina ikatan dengan pencipta. Ilmu adalah cahaya, jangan dipandang ringan akan perkara ini.

Dilahirkan di dalam keluarga Islam tidak menjanjikan kita menjadi seorang penganut yang baik. Hayati Islam berasaskan ilmu, bukan sekadar apa yang diajar oleh ibu bapa kita tanpa merasa ingin tahu lebih mengenainya. Islam adalah milik Allah SWT dan DIA telah memerintahkan hambaNYA untuk mengikuti Rasulullah SAW (Juszuk 3:31). Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, bukannya tradisi.

Secara jujurnya saya jatuh cinta dengan Islam dan telah membuat keputusan untuk mempelajarinya dari asas. Malah saya telah menyahut cabaran dengan mempelajari juga agama lain seperti Hindu, Buddha dan terutama sekali Kristian. Saya bangga untuk mengatakan bahawa saya adalah seorang muslim kerana saya memilih Islam, bukan kerana saya dilahirkan oleh ibu bapa muslim, Alhamdulillah.

Seperkara yang ingin saya kongsikan di sini, sebagai wanita yang berhijab, kita tidak semestinya melupakan mengenai barang kemas apabila ia mampu menambah keyakinan kita. Tiada istilah ‘BURUK’, hanya “MALAS’ apabila kita berbicara tentang mengenakan barang kemas. Hanya seorang wanita yang mampu mengubah mentaliti seorang wanita lain, inshaAllah. Kita perlu cuba sebaik  boleh untuk menutup aurat apabila kita keluar dari rumah (untuk elakkan fitnah) namun, di dalam rumah, kita perlu mencantikkan diri kita sebagaimana yang sepatutnya.

Semoga Allah SWT menguatkan kita, mengampuni kita dan menganugerahkan kita dengan ilmu untuk manfaat keluarga, zuriat dan ummah secara umumnya. Ameen.

suharajewelart.com
facebook.com/suharajewelart
instagram.com/suharajewelart