Anak adalah anugerah dan nikmat dari Allah SWT kepada semua pasangan yang berkahwin. Bahagianya sesebuah perkahwinan apabila dianugerahkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Anak Anugerah yang TerindahSaya percaya pendidikan awal yang betul dan sempurna amat penting. ‘Melentur buluh biar dari rebung’. Kanak-kanak sekarang bukan seperti zaman saya dahulu. Mereka memang bijak tapi perlukan bimbingan yang berterusan dari ibubapa. Jangan ambil remeh dengan setiap perkembangan anak-anak anda. Jadilah ibubapa yang bertanggungjawab. Dekati dan kenalilah anak-anak anda.

Saya pernah menyaksikan sendiri di sebuah restoran di mana sepasang suami isteri ini begitu asyik berborak, ketawa, bergurau senda tetapi sayang bayi mereka ketawa juga tetapi ketawa bersama kartun-kartun di dalam video yang ditayangkan dalam “tablet”. Senario ini biasa dan menjadi trend sekarang. Tak tahu kenapa tetapi saya rasa saya tidak suka dengan apa yang saya lihat. Mungkin pasangan ini ada alasan mereka sendiri tapi percayalah jika mereka ‘bertiga ‘ ketawa bersama lagi nikmat rasanya.

Terokailah dunia kanak-kanak bersama anak-anak anda. Bangga dengan anak-anak anda walaupun sebenarnya tiada apa yang luar biasanya. Jadikan segalanya luar biasa supaya anak-anak rasa dihargai dan disayangi. Kanak-kanak sekarang memang bijak tetapi mereka masih memerlukan bimbingan ibubapa. Jangan biarkan anak-anak anda membesar tanpa diaudit oleh anda. Jangan sia-siakan jawatan Ibu dan jawatan bapa yang anda pegang.

Pernah seorang ayah mengeluh kepada saya yang anak bujang dia tak pernah nak membantu dia. Padahal dia tak bekerja pun. Lepas habis belajar, belum bersedia untuk bekerja tapi bersemangat untuk melepak dengan kawan-kawan. Dulu waktu belajar si ayah tidak mahu menyusahkan anaknya. Niat ayah supaya dia dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Tapi tengoklah apa dah jadi. Di mana silapnya saya pun tidak pasti. Secara peribadi saya rasakan didikan ibubapa yang menjadi penyebabnya.

Dekati dan kenalilah anak-anak anda. Biarkan anak-anak anda menjadi kanak-kanak yang sebenar. Jangan dewasakan dia sebelum waktunya. Saya tidak faham ada sesetengah ibubapa yang melayan anak-anak mereka seperti kawan. Ya jika anak anda berusia tujuh belas tahun mungkin. Tetapi tidak jika anak anda baru berusia tiga tahun! Kawan bermain betul tetapi bukan kawan dalam berbicara. Bahasa dan ayat yang digunakan biarlah bersesuaian dengan usia kanak-kanak itu. Sebab itu kadang-kadang ada dikalangan kanak-kanak yang petah bercakap tetapi bahasa dan ayat yang digunakan agak tidak kena dengan gayanya. Bukan nampak comel lagi tetapi meluat juga dibuatnya.

Sayangilah anak-anak anda. Tapi siapa yang tidak sayang anak kan? Kadang-kadang saya sedih bila melihat anak-anak yang terlampau disayangi oleh ibubapa mereka. Dalam erti kata lain terlalu memanjakan anak-anak. Tapi rasanya saya dulupun anak yang manja tapi bila dewasa pandailah pulak bawa diri. Maaf angkat bakul sendiri! Berbalik kepada kisah manja tadi ada sesetengah ibubapa yang lansung tidak memberi peluang untuk anak mereka melakukan kerja sendiri sehinggalah anak mereka dewasa. Sudahnya yang susah mereka sendiri. Alasan yang diberikan risau, takut, tak percaya yang anak mereka boleh buat sendiri. Akhirnya anak mereka yang rugi. Bila dewasa jika ditakdirkan hidup dia berjaya Alhamdulillah tetapi jika sebaliknya.

Jadilah ibubapa yang berilmu. Biar miskin harta tetapi kaya ilmu. Berkorban apa sahaja tetapi biarlah berbaloi pengorbanan kita. Selamat menjadi ibubapa yang berilmu. Tetapi ingat ilmu itu tiada noktahnya.